remove_action('wp_head', 'wp_generator'); Koperasi Az Zahabi Selangor Berhad

Bahagian 8: Pelbagai

Akaun bank

72.1. Akaun bank bagi Koperasi hendaklah diuruskan oleh mana-mana orang iaitu pengerusi atau setiausaha dan bendahari atau dua orang pegawai lain yang diberi kuasa oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

Mohor Koperasi

73.1. Koperasi hendaklah mempunyai satu mohor. Mohor ini tidak boleh dimeteraikan di atas mana-mana surat melainkan dengan keputusan Lembaga. Pengerusi, setiausaha dan bendahari atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh Lembaga dikehendaki menurunkan tandatangan mereka di atas tiap-tiap surat yang hendak dimeteraikan.

73.2. Dokumen yang diperbuat atas nama Koperasi sama ada dimeteraikan atau tidak, dan ditandatangani dengan sahnya oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh Lembaga hendaklah disifatkan mengikat ke atas Koperasi sehingga sebaliknya dibuktikan.

Pertukaran alamat anggota

74.1. Tiap-tiap anggota hendaklah memberitahu setiausaha akan pertukaran alamatnya dalam tempoh tiga puluh hari. Semua surat kepada anggota yang dihantar dengan pos atau dikirimkan kepada alamatnya yang terakhir hendaklah dianggap sebagai telah disampaikan.

Penyediaan dokumen untuk diperiksa

75.1. Menurut seksyen 13 Akta, Koperasi hendaklah menyediakan perkara berikut yang terbuka untuk diperiksa oleh anggota Koperasi sahaja tanpa apa-apa bayaran, pada masa-masa yang munasabah di alamat berdaftar Koperasi —

(a) suatu salinan Akta dan Peraturan atau perintah, arahan atau garis panduan;
(b) suatu salinan Undang-undang Kecil dan akaun teraudit yang terakhir;
(c) suatu senarai anggota;
(d) suatu senarai anggota Lembaga;
(e) nama ketua pegawai eksekutif, jika ada; dan
(f) suatu senarai pegawai Koperasi yang berkenaan dengan pengurusan Koperasi, jika ada.

75.2. Koperasi hendaklah juga menyediakan aturan aktiviti untuk diperiksa oleh anggota, jika ada.

Penyerahan tugas

76.1. Penyerahan tugas hendaklah dilakukan secara bertulis apabila berlaku pertukaran bagi apa-apa jawatan dalam Koperasi dan disempurnakan dalam tempoh tidak lewat daripada empat belas hari selepas berkuatkuasanya pertukaran itu.

Laporan oleh seseorang yang dilantik mewakili Koperasi

77.1. Seseorang yang dilantik untuk mewakili Koperasi di dalam apa-apa mesyuarat, seminar, forum atau lawatan sambil belajar atas perbelanjaan Koperasi sama ada di dalam atau di luar negeri, menurut Peraturan, hendaklah mengemukakan laporan ringkas kepada mesyuarat agung tahunan yang akan datang yang terawal diadakan bagi Koperasi.

77.2. Jika orang itu gagal mengemukakan laporan, dia hendaklah membayar balik semua perbelanjaan yang telah ditanggung oleh Koperasi. Koperasi berhak mendapatkan balik setiap perbelanjaan tersebut seolah-olah ianya suatu hutang yang kena dibayar kepada Koperasi.

Pelantikan Yang Dipertua

78.1. Lembaga boleh melantik seorang kenamaan sebagai Yang Dipertua kepada Koperasi. Dia hanya bertindak sebagai penaung dan boleh menghadiri mana-mana mesyuarat yang diadakan oleh Koperasi tetapi tidak mempunyai hak untuk mengundi.

Pertikaian

79.1. Segala pertikaian menurut subseksyen 82(1) Akta, yang menyentuh hal penubuhan, Undang-undang Kecil, pemilihan pegawai, perjalanan mesyuarat agung, pengurusan atau perniagaan Koperasi hendaklah dirujuk kepada Suruhanjaya, menurut Peraturan.

79.2. Mana-mana anggota yang dibuktikan telah membuat pengaduan atau merujukkan pertikaiannya kepada mana-mana orang selain daripada Suruhanjaya hendaklah dianggap telah bertindak dengan cara yang memudaratkan kepentingan Koperasi dan boleh dikenakan tindakan menurut undang-undang kecil 23.

79.3. Segala pertikaian selain daripada yang dinyatakan menurut subseksyen 82(1) Akta hendaklah dirujuk kepada mesyuarat agung Koperasi untuk penyelesaian. Apa-apa pertikaian yang tidak dapat diselesaikan hendaklah diputuskan oleh Suruhanjaya dan keputusannya adalah muktamad.

Pemeliharaan kerahsiaan

80.1. Anggota Lembaga, pegawai, pekerja, juruaudit atau mana-mana orang yang mempunyai akses kepada maklumat mana-mana anggota yang diperolehi dalam melaksanakan perniagaan atau tugas dengan Koperasi, tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak boleh dizahirkan kepada mana-mana orang tanpa izin anggota melainkan yang dibenarkan oleh undang-undang bertulis.

Pembubaran

81.1. Koperasi hanya boleh dibubarkan dengan perintah Suruhanjaya.

Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil

82.1. Undang-undang Kecil ini adalah dibuat menurut Peraturan dan hendaklah tertakluk kepada peruntukan Akta dan Peraturan. Apa-apa pindaan kepada Undang-undang Kecil ini tidak boleh dibuat melainkan dengan kehendak atau kebenaran Suruhanjaya. Aturan aktiviti tidak boleh dibuat melainkan dengan kelulusan mesyuarat agung.

82.2. Apa-apa urusan Koperasi hendaklah tertakluk kepada Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil serta aturan aktiviti dan hendaklah dibaca bersekali.

Undang-undang Kecil hendaklah mengikat anggota

83.1. Menurut seksyen 17 Akta, Undang-undang Kecil ini hendaklah mengikat Koperasi dan anggotanya sehingga takat yang sama seolah-olah Undang-undang Kecil ini telah ditandatangani oleh tiap-tiap anggota dan mengandungi waad pada pihak tiap-tiap anggota bagi dirinya sendiri dan bagi penggantinya untuk mematuhi segala peruntukan Undang-undang Kecil ini.

Diakui Undang-undang Kecil ini telah dibentang, dibincang dan diterima di dalam mesyuarat agung permulaan bertarikh sepuluh haribulan Mac tahun dua ribu dua belas.

Leave a reply