ATURAN-ATURAN AKAUN SIMPANAN KHAS TUNAI DAN AKAUN SIMPANAN UNIT EMAS KOPERASI AZ-ZAHABI SELANGOR BERHAD

Tajuk dan mula berkuatkuasa

  1. Akaun Simpanan Khas ini bolehlah dinamakan Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB dan hendaklah mula berkuatkuasa penggunaannya pada tarikh yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan Pertama.

Tujuan

  1. Tujuan utama Akaun-Akaun Simpanan Khas ini diwujudkan adalah sebagai pematuhan kepada UUK Koperasi seksyen 55(1) ke atas simpanan khas ahli yang berbentuk tunai dan unit-unit 0.1 gram emas 999.9.

Tafsiran

  1. Di dalam aturan-aturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:-

“Ahli” ertinya seseorang yang diterima menjadi ahli mengikut Undang-undang Kecil Koperasi dan layak mengikut Aturan-aturan ini.

“Aturan-aturan” atau “Aturan-aturan ini” ertinya Aturan-aturan Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB.

“Pemodal” atau “Pendeposit” ertinya ahli Koperasi yang menyertai Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB ini.

“Pengusaha” ertinya Koperasi ini.

“Koperasi” ertinya Koperasi Az-Zahabi Selangor Berhad.

Konsep

  1. Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB adalah dua akaun simpanan ahli, yang disediakan oleh Koperasi kepada ahlinya, diurus sendiri oleh ahli, melalui sistem atas talian di azzahabi.my. Selain untuk tujuan simpanan, unit-unit emas di dalam akaun ini boleh digunakan oleh ahli-ahli untuk dipindah-milik ke akaun ahli-ahli Koperasi yang lain, dikeluarkan dalam bentuk emas jongkong atau dinar-dirham, dilaburkan dalam dana-dana yang berlandaskan syariah yang akan dikendalikan melalui azzahabi.my bagi memberi pulangan kepada pendeposit-pendepositnya.

Penyertaan Ahli

  1. Semua ahli koperasi adalah layak untuk menyertai Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB. Penyertaan adalah dengan mendaftar secara atas talian di azzahabi.my

Penerimaan deposit 

  1. (1) Ahli perlu mendepositkan tunai ke dalam akaun bank KAZSB dan memaklumkan jumlah deposit tersebut melalui akaun azzahabi.my ahli.
    (2) Akaun Simpanan Khas Tunai ahli akan dicatat dengan jumlah deposit tersebut setelah pihak koperasi mengesahkan jumlah deposit tersebut.
    (3) Tempoh pengesahan deposit ke dalam akaun Simpanan Khas Tunai adalah tujuh puluh dua (72) jam dari notis deposit melalui azzahabi.my.

Penggunaan deposit

  1. (1) Dana yang terkumpul di dalam akaun Simpanan Khas Tunai boleh ditukar kepada akaun Simpanan Khas Unit Emas, dan sebaliknya, dengan urusniaga Jual Beli melalui azzahabi.my.
    (2) Urusniaga Jual Beli unit emas dikendalikan oleh azzahabi.my dengan menggunakan harga pasaran semasa emas jongkong 100 gram PAMP SUISSE 999.9 dibahagi 1,000 bahagian dan
    (3) Setiap urusniaga Jual Beli akan dikenakan fi pengurusan sebanyak 0.2% hingga 0.8% untuk setiap urusniaga. Kadar fi pengurusan ini tertakluk kepada perubahan mengikut keperluan Koperasi.
    (4) Fi Pengurusan ini adalah sumber pendapatan Koperasi untuk menampung kos pengurusan Koperasi, termasuk sewa peti besi keselamatan dan insurans/takaful untuk jongkong-jongkong emas.

Pengeluaran deposit

  1. (1) Ahli-ahli boleh mengeluarkan deposit Tunai daripada akaun Simpanan Khas Tunai KAZSB mereka dengan memaklumkan jumlah pengeluaran Tunai yang dikehendaki melalui akaun azzahabi.my, tertakluk kepada baki akaun Simpanan Khas Tunai ahli.
    (2) Pengeluaran deposit Tunai akan dibuat melalui bank ahli, seperti yang telah didaftarkan. Pengeluaran deposit Tunai memerlukan kelulusan Bendahari atau Pengurus Besar. Tempoh pengesahan pengeluaran dan pemindahan ke akaun bank ahli adalah empat puluh lapan (48) ) jam dari notis pengeluaran melalui azzahabi.my
    (3) Pengeluaran Unit Emas hanya dibolehkan apabila baki simpanan Unit Emas ahli mencukupi 1,000 unit dan dalam gandaan 1,000 unit, selaras dengan satu keping emas jongkong 100 gram PAMP SUISSE 999.9.
    (4) Fi pengeluaran akan dikenakan ke atas setiap pengeluaran pada kadar yang akan ditetapkan.

Pembahagian keuntungan

  1. Akaun Simpanan Khas Tunai dan Akaun Simpanan Khas Unit Emas KAZSB bukanlah akaun-akaun pelaburan. Akaun-akaun tersebut hanyalah untuk simpanan Tunai dan Unit Emas yang diwakilkan kepada Koperasi untuk disimpan. Maka tiadalah sebarang pembahagian keuntungan di antara ahli-ahli dan Koperasi.

Kerugian pelaburan

  1. Sekiranya urusniaga Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB mengalami kerugian maka segala kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh semua peserta berdasarkan deposit masing-masing di dalam akaun Simpanan Khas Tunai dan akaun Simpanan Khas Unit Emas.

Pentadbiran

  1. (1) Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB akan dikawal dan dipantau oleh Anggota Lembaga Koperasi.
    (2) Pengendalian Akaun Simpanan Khas Tunai dan Akaun Simpanan Khas Unit Emas adalah mematuhi Shariah dalam mana urusniaga Jual Beli hanya dibolehkan dengan adanya Tunai dan Unit Emas, iaitu wujud dan dimiliki sepenuhnya (Qabad) dan dijalankan tanpa berlaku sebarang penangguhan (Lani).
    (3) Baki akaun-akaun Simpanan Khas Tunai dan Simpanan Khas Unit Emas di wakilkan kepada Koperasi untuk disimpan dan hak menguruskan kekal pada ahli-ahli melalui akaun azzahabi.my masing-masing.
    (4) Sistem azzahabi.my adalah khusus untuk kegunaan Koperasi untuk menguruskan akaun-akaun Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB dan pentadbiran urusniaga Koperasi.

Penggantungan Aktiviti

  1. Jika pada pendapat Lembaga adalah mustahak bagi Koperasi ini memberhentikan kegiatan Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB, maka Lembaga perlu memaklumkan pendapat Lembaga dan mendapatkan keputusan anggota-anggota Koperasi melalui satu Mesyuarat Agung Khas.

Audit

  1. Akaun Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB hendaklah beraudit bersekali dengan akaun-akaun Koperasi ini pada setiap tahun kewangan

Makluman kepada Mesyuarat Agung

  1. Anggota Lembaga hendaklah membentangkan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan laporan-laporan mengenai aktiviti-aktiviti Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB serta membuat cadangan-cadangan bagi memajukannya.

Aturan-aturan Simpanan Khas Tunai dan Unit Emas KAZSB ini telah diterima dan dipersetujui oleh anggota di dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali Pertama pada 18hb Mac 2015.