Bahagian 6: Harta dan Wang Koperasi

Wang dan kumpulan wang Koperasi

53.1. Wang dan kumpulan wang Koperasi boleh mengandungi —

(a) fi masuk dan syer anggota;
(b) simpanan khas daripada anggota;
(c) pinjaman atau deposit daripada anggota dan bukan anggota;
(d) Kumpulan Wang Rizab Statutori;
(e) Akaun Rizab Modal;
(f) Kumpulan Wang Penebusan Syer;
(g) derma dan pemberian tertentu;
(h) baki keuntungan terkumpul; dan
(i) kumpulan wang lain yang diluluskan oleh mesyuarat agung.

53.2. Kumpulan wang Koperasi selain daripada Kumpulan Wang Rizab Statutori boleh digunakan bagi melaksanakan aktiviti menurut fasal (1) undang-undang kecil 9.

Modal syer

54.1. Menurut perenggan 50(b) Akta, setiap anggota hendaklah melanggan RM300.00 (Ringgit: tiga ratus) syer sebagai sumbangan minimum yang hendaklah dijelaskan dalam tempoh yang dinyatakan menurut fasal (2). Syer minimum ini tidak boleh dikeluarkan kecuali selepas keanggotaan anggota itu tamat.

54.2. Tempoh menjelaskan syer minimum menurut fasal (1) adalah sebagaimana berikut:

(a) seseorang yang turut sama dalam permohonan pendaftaran Koperasi ini atau yang telah menandatangani minit mesyuarat agung permulaan Koperasi hendaklah menjelaskan syernya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perakuan pendaftaran diterima oleh Koperasi; dan
(b) seseorang yang diterima menjadi anggota menurut undang-undang kecil 15 hendaklah menjelaskan syernya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penerimaannya sebagai anggota.

Simpanan khas, deposit atau pinjaman

55.1. Koperasi boleh menerima daripada anggotanya

(a) simpanan khas seperti yang ditetapkan dalam aturannya dan wang ini boleh dikeluarkan dari semasa ke semasa; atau
(b) deposit dan pinjaman.

55.2. Koperasi boleh, dengan kelulusan Suruhanjaya, menerima deposit atau pinjaman daripada bukan anggota Koperasi.

55.3. Fasal (2) tidak terpakai kepada deposit atau pinjaman yang diberikan oleh kerajaan.

55.4. Pada setiap mesyuarat agung tahunan, Koperasi hendaklah —

(a) memberitahu anggotanya mengenai pinjaman daripada anggota menurut subseksyen 52(3) Akta; dan
(b) menetapkan had maksimum keterhutangan yang sedia ada dan yang baru akan ditanggung dalam tahun akan datang.

Pindahan syer

56.1. Seseorang anggota boleh memindahkan syernya yang melebihi sumbangan minimum menurut fasal (1) undang-undang kecil 54 kepada anggota lain dengan menandatangani borang pemindahan syer.

56.2. Pindahan syer tersebut hanya akan berkuat kuasa setelah didaftarkan oleh Koperasi.

56.3. Syer seseorang anggota yang mati boleh dipindahkan kepada penama. Bagi anggota Muslim, pemindahan tersebut hendaklah menurut fasal (1) undang-undang kecil 18.

56.4. Pemindahan syer tersebut hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan selepas kematian anggota itu.

Penyelesaian modal syer

57.1. Jika pemindahan syer tidak dapat dibuat menurut undang-undang kecil 56, bagi seseorang anggota yang tamat keanggotaannya oleh apa-apa sebab jua pun, maka syernya yang diperihalkan di dalam undang-undang kecil itu boleh dikeluarkan tertakluk kepada fasal (2).

57.2. Syer boleh ditebus dari Kumpulan Wang Penebusan Syer dan Kumpulan Wang Rizab Statutori tertakluk kepada Peraturan. Nilai tebusan syer ini hendaklah mengikut sebagaimana yang ditunjukkan dalam akaun teraudit terakhir bagi Koperasi akan tetapi tidak boleh melebihi nilai asalnya.

57.3. Syer yang ditebus menurut fasal (2) boleh jika diluluskan oleh mesyuarat agung, diterbitkan semula sebagai syer bonus.

Keuntungan modal

58.1. Menurut subseksyen 55(1) Akta, semua keuntungan modal yang diperolehi daripada perkara berikut hendaklah dikreditkan ke Akaun Rizab Modal —

(a) penjualan tanah atau bangunan, atau kedua-duanya sebagai harta tetap; dan
(b) penilaian semula tanah atau bangunan, atau kedua-duanya, sebagai harta tetap, dengan kelulusan Suruhanjaya.

58.2. Keuntungan modal menurut perenggan (a) fasal (1) boleh, jika diluluskan oleh mesyuarat agung, digunakan bagi semua atau mana-mana maksud yang berikut:

(a) penerbitan syer bonus;
(b) penghapusan kira kerugian terkumpul;
(c) penghapusan kira kerugian modal; dan
(d) pewujudan suatu Kumpulan Wang Penebusan Syer Bonus.

58.3. Syer bonus boleh diterbitkan menurut Peraturan berasaskan kepada —

(a) jumlah syer yang dipegang oleh tiap-tiap anggota; atau
(b) penerbitan semula daripada syer bonus yang ditebus, dengan syarat:

(i) syer menurut perenggan (a) dan (b), dipegang dalam tempoh masa dua belas bulan sebelum tarikh pengisytiharan syer bonus;
(ii) nama anggota yang akan menerima syer itu ada dalam daftar Koperasi pada tarikh pengisytiharan syer bonus itu;
(iii) semua kerugian terkumpul dan semasa telah dihapuskira; dan
(iv) buku dan rekod Koperasi telah disenggara dengan memuaskan menurut pendapat Suruhanjaya.

58.4. Syer bonus yang diterbitkan daripada keuntungan modal menurut perenggan (b) fasal (1) boleh dengan kelulusan Lembaga —

(a) dipindahkan kepada anggota lain Koperasi ini; atau
(b) dikeluarkan dalam hal anggota yang mati.

58.5. Pemindahan atau pengeluaran menurut fasal (4) dibayar daripada Kumpulan Wang Penebusan Syer Bonus Koperasi.

Kumpulan Wang Rizab Statutori

59.1. Menurut subseksyen 57(1) Akta, Koperasi ini hendaklah menyenggarakan satu Kumpulan Wang Rizab Statutori.

59.2. Koperasi hendaklah memindahkan suatu jumlah wang ke Kumpulan Wang Rizab Statutori berdasarkan jadual di bawah:

Jumlah Terkumpul Kumpulan Wang Rizab Statutori Jumlah Pindahan
Kurang daripada 50% daripada syer Tidak kurang 25% daripada untung bersih teraudit
50% tetapi kurang daripada 100% daripada syer Tidak kurang 15% daripada untung bersih teraudit

59.3. Kumpulan Wang Rizab Statutori tidak boleh dibahagi dan tidak seorang pun anggota berhak untuk menuntut suatu bahagian tertentu daripadanya.

59.4. Koperasi boleh membuat pembayaran balik syer daripada Kumpulan Wang Rizab Statutori, dan pada setiap masa baki dalam kumpulan wang tersebut hendaklah tidak kurang daripada lima belas peratus daripada jumlah syer Koperasi berkenaan.

Simpanan khas

60.1. Menurut perenggan 50(d) Akta, Koperasi boleh menerima simpanan khas daripada anggota tertakluk kepada terma dan syarat yang dibuat menurut fasal (4) Undang-undang Kecil 9 dan wang ini boleh dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Pinjaman luar dan deposit

61.1. Tertakluk kepada subseksyen 52(2), seksyen 52A Akta dan Peraturan, Koperasi boleh menerima deposit atau meminjam wang daripada anggotanya dan dengan kelulusan Suruhanjaya, daripada bukan anggota Koperasi.

61.2. Peruntukan fasal (1) tidak terpakai kepada deposit atau pinjaman yang diberikan oleh kerajaan.

61.3. Pada setiap mesyuarat agung tahunan, Koperasi hendaklah —

(a) memberitahu anggotanya mengenai deposit atau pinjaman, menurut subseksyen 52(3) Akta; dan
(b) menetapkan had maksimum keterhutangan yang sedia ada dan yang baru akan ditanggung dalam tahun akan datang.

Pelaburan wang

62.1. Wang berlebihan Koperasi boleh dilabur tertakluk kepada peruntukan seksyen 54 Akta dan Peraturan.

62.2. Had maksimum yang boleh dilaburkan oleh Koperasi bagi sesuatu maksud hendaklah ditentukan oleh mesyuarat agung.

Pemberian pinjaman oleh Koperasi

63.1. Menurut seksyen 51 Akta, Koperasi boleh memberi apa-apa pembiayaan Islam atau kemudahan kredit lain kepada —

(a) pekerjanya, termasuk ketua pegawai eksekutif tertakluk kepada terma dan syarat perkhidmatan mereka; atau
(b) subsidiarinya atau koperasi lain, tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya.

Pengagihan untung bersih teraudit

64.1. Keuntungan bersih teraudit Koperasi seperti yang ditunjukkan dalam akaun untung rugi menurut seksyen 56 Akta, hendaklah diagihkan, tertakluk kepada seksyen 57 Akta, seperti berikut:

(a) sebanyak mana yang ditentukan menurut fasal (2) undang-undang kecil 59 dipindahkan kepada Kumpulan Wang Rizab Statutori; dan
(b) sebanyak mana yang ditentukan dari semasa ke semasa oleh Suruhanjaya dibayar kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

Disyaratkan bahawa menurut subseksyen 57(4) Akta, boleh ditolak apa-apa bayaran yang dibuat menurut perenggan (b) fasal (1) daripada jumlah wang menurut perenggan (a) fasal (1).

64.2. Selepas pengagihan dan pembayaran menurut fasal (1), dan peruntukan cukai pendapatan, jika ada, baki untung bersih teraudit, boleh digunakan bagi semua atau mana-mana maksud yang berikut:

(a) pembayaran potongan langganan;
(b) pembayaran dividen atas syer anggota sebagaimana yang ditentukan oleh arahan atau garis panduan;
(c) pembayaran honorarium kepada anggota Lembaga yang tidak boleh, bagaimanapun, melebihi jumlah wang yang disyorkan oleh mesyuarat agung tahunan dan diluluskan oleh Suruhanjaya; atau
(d) pemindahan kepada pelbagai kumpulan wang untuk kebajikan anggotanya dan masyarakat.

64.3. Pembayaran dividen daripada mana-mana sumber selain untung bersih teraudit bagi tahun kewangan itu tidak boleh dibuat kecuali dengan mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Suruhanjaya, yang tidak boleh dalam mana-mana hal melebihi apa-apa kadar maksimum sebagaimana yang ditentukan dalam arahan atau garis panduan.

64.4. Menurut subseksyen 57(7) Akta, bayaran kepada perkara menurut perenggan (b) fasal (1), fasal (2) dan (3), boleh dibuat hanya jika semua kerugian terkumpul telah dihapuskira sepenuhnya.

64.5. Dengan kelulusan Suruhanjaya, Koperasi boleh, sekiranya kerugian terkumpul tidak dihapuskira sepenuhnya, menggunakan untung bersih terauditnya untuk pembayaran dividen kepada anggotanya yang tidak boleh melebihi lima peratus daripada jumlah syer anggota, menurut subseksyen 57(8) Akta.

Dividen dan potongan langganan

65.1. Kadar dividen yang dibayar atas syer kepunyaan seseorang anggota pada enam bulan sebelum akhir tahun kewangan menurut Peraturan, hendaklah tidak melebihi sepuluh peratus kecuali dengan kelulusan Suruhanjaya. Seseorang yang namanya tidak ada di dalam daftar nama anggota Koperasi pada tarikh akhir tahun kewangan yang berkenaan tidak layak menerima dividen.

65.2. Dividen hendaklah dikreditkan ke akaun modal syer anggota sekiranya anggota itu tidak meminta dibayar kepadanya secara tunai dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh dividen itu diisytiharkan.

65.3. Potongan langganan boleh diberi hanya jika langganan seseorang anggota tidak kurang daripada RM 10,000.00 (Ringgit sepuluh ribu) dalam tahun kewangan yang berkenaan.

Leave a reply