Bahagian 5: Organisasi dan Pengurusan Koperasi

Mesyuarat agung

25.1. Tertakluk kepada peruntukan Akta, Peraturan, arahan atau garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya dari semasa ke semasa dan Undang-undang Kecil, kuasa tertinggi bagi Koperasi ini hendaklah terletakhak pada mesyuarat agung, menurut seksyen 36 Akta, yang padanya tiap-tiap anggota mempunyai hak untuk hadir dan mengundi.

25.2. Mesyuarat agung hendaklah terbahagi kepada dua jenis iaitu mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas.

Mesyuarat agung tahunan

26.1. Mesyuarat agung tahunan menurut subseksyen 39(1) Akta, hendaklah diadakan tidak lewat daripada enam bulan selepas berakhirnya setiap tahun kewangan atau tempoh yang lebih panjang sebagaimana yang diluluskan oleh Suruhanjaya.

Mesyuarat agung khas

27.1. Lembaga pada bila-bila masa boleh, atau apabila ada rekuisisi yang ditandatangani oleh sekurang-kurangnya satu perlima atau satu ratus anggota mengikut mana yang kurang hendaklah, memanggil suatu mesyuarat agung khas menurut subseksyen 40(1) Akta.

27.2. Suruhanjaya atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Suruhanjaya menurut subseksyen 40(2) Akta, boleh memanggil pada bila-bila masa suatu mesyuarat agung khas, mengikut cara, masa dan tempat yang diarahkannya, dan boleh menentukan perkara yang hendaklah dibincangkan oleh mesyuarat itu, dan mesyuarat itu hendaklah mempunyai segala kuasa dan tertakluk kepada kaedah yang sama seperti mesyuarat agung yang dipanggil menurut Akta atau Undang-undang Kecil ini.

Notis mesyuarat agung

28.1. Notis bagi sesuatu mesyuarat agung hendaklah diberi kepada anggota dalam tempoh tidak kurang daripada lima belas hari sebelum diadakan mesyuarat agung itu.

28.2. Notis hendaklah menentukan tarikh, masa, tempat dan fungsi mesyuarat dan bagi mesyuarat agung tahunan hendaklah disertakan —

(a) akaun dan kunci kira-kira Koperasi ini dan subsidiarinya, jika ada, yang teraudit;
(b) belanjawan bagi tahun kewangan yang akan datang;
(c) laporan Lembaga;
(d) laporan Jawatankuasa Audit Dalaman; dan
(e) dokumen lain yang berkaitan.

28.3. Satu salinan notis hendaklah dipamerkan di pejabat Koperasi ini dan sebagai tambahan boleh juga diterbitkan di dalam mana-mana akhbar tempatan.

28.4. Menurut seksyen 41 Akta, Lembaga hendaklah memberi kepada Suruhanjaya notis bertulis yang mengandungi maklumat tentang tarikh, masa, tempat dan fungsi mesyuarat agung yang akan diadakan oleh Koperasi dalam tempoh tidak kurang daripada tiga puluh hari sebelum diadakan mesyuarat agung itu.

Kuorum mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas

29.1. Kuorum bagi sesuatu mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas bagi apa-apa maksud adalah seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan.

29.2. Kuorum bagi sesuatu mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas kerana meminda Undang-undang Kecil ini, hendaklah dua pertiga dari jumlah anggota, melainkan kuorum terkurang dibenarkan oleh Suruhanjaya menurut Peraturan.

29.3. Bagi sesuatu mesyuarat agung khas yang dipanggil oleh Suruhanjaya menurut fasal (2) undang-undang kecil 27 yang ditunda —

(a) kuorum hendaklah tidak kurang daripada dua kali ganda bilangan anggota Lembaga atau dua puluh orang mana yang lebih; dan
(b) keputusan boleh dibuat dengan kelebihan undi dua pertiga daripada anggota yang hadir dan layak mengundi menurut Akta dan Peraturan.

Undi mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas

30.1. Semua perbahasan kecuali yang berkaitan dengan pindaan Undang-undang Kecil dan pembuangan anggota di bawah fasal (4) undang-undang kecil 23 hendaklah diputuskan dengan majoriti mudah undi anggota yang hadir sebagaimana di dalam daftar kehadiran.

30.2. Jika undi sama banyak, maka usul yang diundi itu hendaklah disifatkan kalah. Anggota yang berkecuali dianggap tidak menyokong usul itu.

30.3. Pengerusi mesyuarat tidak mempunyai undi pemutus.

Pembatalan dan penangguhan mesyuarat agung tahunan

31.1. Jika selepas tiga puluh minit daripada waktu yang ditetapkan bagi sesuatu mesyuarat agung tahunan itu, bilangan yang hadir masih belum mencukupi kuorum, maka mesyuarat agung tahunan itu bolehlah dibatalkan dan hendaklah dipanggil semula oleh Lembaga dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh mesyuarat agung yang dibatalkan dengan membincangkan fungsi mesyuarat yang sama.

31.2. Mesyuarat agung tahunan boleh ditangguhkan dengan persetujuan mesyuarat —

(a) dalam tempoh tujuh hari dari tarikh mesyuarat yang asal;
(b) di dalam kawasan operasi Koperasi; dan
(c) bagi menjalankan urusan mesyuarat yang asal.

31.3. Notis tidak perlu bagi mesyuarat yang ditangguhkan itu.

Pembatalan dan tundaan mesyuarat agung khas

31A.1. Jika selepas tiga puluh minit daripada waktu yang ditetapkan bagi sesuatu mesyuarat agung khas itu bilangan anggota yang hadir masih belum mencukupi kuorum, maka mesyuarat agung itu —

(a) dibatalkan, jika dipanggil oleh Lembaga atau atas rekuisisi anggota; atau
(b) ditunda, jika dipanggil oleh Suruhanjaya menurut subseksyen 40(2) Akta.

31A.2 Bagi mesyuarat yang ditunda menurut perenggan (b) fasal (1) —

(a) tarikh mesyuarat tertunda hendaklah tidak kurang daripada empat belas hari tetapi tidak lebih daripada tiga puluh hari; dan
(b) notis penundaan hendaklah disampaikan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh mesyuarat yang ditunda.

31A.3. Perkara yang telah dicadangkan bagi mesyuarat agung yang ditunda hendaklah dibincangkan pada mesyuarat tertunda itu. Jika terdapat perubahan kepada perkara yang telah dicadangkan itu, notis baru menurut fasal (1) undang-undang kecil 28 hendaklah diberi kepada tiap-tiap anggota bagi mesyuarat tertunda itu.

Fungsi mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas

32.1. Fungsi mesyuarat agung tahunan hendaklah termasuk yang berikut:

(a) mengesahkan minit mesyuarat agung tahunan yang terdahulu dan mana-mana mesyuarat agung khas yang berselang;
(b) menimbang laporan Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalaman;
(c) menimbang dan meluluskan akaun teraudit Koperasi dan subsidiarinya, jika ada, termasuk pembahagian keuntungan bersama dengan laporan juruaudit;
(d) memilih anggota Lembaga;
(e) menimbang dan meluluskan belanjawan tahunan bagi tahun kewangan yang akan datang;
(f) membentangkan laporan berkenaan dengan penerimaan deposit dan pinjaman daripada anggota dan bukan anggota;
(g) meluluskan elaun kepada anggota Lembaga dan saraan kepada anggota Lembaga yang dilantik sebagai pengarah bagi subsidiari Koperasi, jika ada;
(h) meluluskan pelantikan satu panel yang terdiri daripada tidak kurang daripada dua orang juruaudit yang diluluskan oleh Suruhanjaya dan seorang pegawai Suruhanjaya untuk mengaudit akaun Koperasi;
(i) menimbang dan meluluskan ruang lingkup dan had pelaburan yang dibiayai oleh wang lebihan Koperasi;
(j) menimbang dan meluluskan surat cara deposit atau pinjaman;
(k) menentukan had maksimum keterhutangan;
(l) melantik suatu jawatankuasa yang terdiri daripada enam orang anggota dan empat orang anggota Lembaga untuk menentusahkan draf minit mesyuarat agung tahunan;
(m) mengisytihar atau menerbitkan syer bonus, jika ada;
(n) mendengar, menimbang atau memutuskan apa-apa cadangan atau urusan perniagaan lain Koperasi yang baginya suatu notis tidak kurang daripada tujuh hari telah diberikan;
(o) menimbang dan meluluskan apa-apa cadangan pindaan kepada Undang-undang Kecil Koperasi;
(p) mendengar dan memutuskan apa-apa aduan, yang baginya suatu notis yang tidak kurang daripada tujuh hari telah diberikan kepada Koperasi ini, yang dikemukakan oleh mana-mana anggota yang terkilan dengan keputusan Lembaga;dan
(q) menimbang dan meluluskan apa-apa laporan yang dikehendaki supaya dikemukakan mengikut Peraturan, jika ada.

32.2. Walau apapun fasal (1), fungsi di dalam perenggan (g), (h), (i), (j), (k), (l), (m), (n), (o), (p) dan (q) bolehlah diputuskan dalam mesyuarat agung khas di bawah subseksyen 40(1) Akta.

32.3. Walau apapun fasal (1), mesyuarat agung khas yang diadakan oleh Suruhanjaya di bawah subseksyen 40(2) Akta boleh menjalankan kesemua atau mana-mana fungsi di bawah fasal (1).

Pengerusi mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas

33.1. Mesyuarat hendaklah memilih mana-mana anggota yang hadir untuk mempengerusikan mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas.

33.2. Walau apapun fasal (1) mesyuarat agung khas yang dipanggil oleh Suruhanjaya di bawah subseksyen 40(2) Akta boleh dipengerusikan oleh mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Suruhanjaya.

Lembaga Koperasi

34.1. Lembaga Koperasi hendaklah mengandungi enam orang yang terdiri daripada anggota yang dipilih oleh mesyuarat agung, menurut seksyen 42 Akta dan perenggan (d) fasal (1) undang-undang kecil 32.

Kelayakan menjadi anggota Lembaga

35.1. Tiada seorang pun layak menjadi anggota Lembaga atau kekal sebagai seorang anggota Lembaga, jika dia —

(a) telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta;
(b) telah dipecat sebagai seorang pegawai sesuatu Koperasi;
(c) menjadi anggota Jawatankuasa Audit Dalaman bagi Koperasi ini;
(d) ada percanggahan kepentingan dalam mana-mana aktiviti yang diusahakan oleh Koperasi ini; atau
(e) belum genap tempoh dua tahun menjadi anggota Koperasi yang telah didaftarkan melebihi dua tahun.

35.2. Walau apa pun fasal (5) undang-undang kecil 18, seorang penama atau wakil yang diterima menjadi anggota yang belum genap tempoh dua tahun dari tarikh diterima menjadi anggota tidak layak untuk dipilih menjadi anggota Lembaga.

Tempoh memegang jawatan anggota Lembaga

36.1. Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada anggota Lembaga hendaklah mengosongkan jawatan secara bergilir-gilir pada tiap-tiap mesyuarat agung tahunan.

36.2. Aturan yang ditetapkan menurut fasal (1) hendaklah diulangi bergilir-gilir tiap-tiap tahun bagi dua pertiga anggota Lembaga yang selainnya supaya pada permulaan tahun keempat atau lebih awal daripada itu, kesemua anggota Lembaga hendaklah telah mengosongkan jawatan masing-masing sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun sebelum itu.

36.3. Pelantikan se-seorang anggota Lembaga yang dibuat menurut sub-sub-perenggan 69(1)(iv)(B) Akta tidak tertakluk kepada fasal (2).

36.4. Sekiranya mesyuarat agung tahunan tidak diadakan maka penggiliran pengosongan jawatan tetap berlaku. Pengguguran akan berlaku pada mesyuarat agung tahunan yang terdekat diadakan.

36.5. Kekosongan jawatan anggota Lembaga hendaklah dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh kekosongan itu diisi oleh Lembaga dengan melantik mana-mana anggota yang berkelayakan dan perkhidmatannya hendaklah tamat sehingga mesyuarat agung tahunan akan datang.

Lucut dan penggantungan jawatan anggota Lembaga

37.1. Seseorang anggota Lembaga hendaklah lucut jawatannya dengan sendiri berkuatkuasa serta-merta jika dia —

(a) disabitkan atas kesalahan boleh daftar atau kesalahan menurut Akta atau Peraturan;
(b) menerima apa-apa pelantikan tetap yang bergaji dalam Koperasi ini;
(c) tidak hadir di dalam mesyuarat Lembaga tiga kali berturut-turut, melainkan dengan sebab yang boleh diterima oleh Lembaga yang telah dimaklumkan terlebih dahulu; atau
(d) hilang kelayakan sebagai anggota menurut undang-undang kecil 20.

37.2. Seseorang anggota Lembaga hendaklah digantung dari jawatannya jika —

(a) sesuatu langkah perbicaraan diambil terhadap anggota Lembaga itu mengenai sesuatu kesalahan boleh daftar atau sesuatu kesalahan menurut subseksyen 47(1) Akta; atau
(b) majoriti anggota Lembaga berpuas hati bahawa anggota Lembaga itu telah bertindak dengan cara yang memudaratkan kepentingan Koperasi ini, menurut Peraturan.

37.3. Tiap-tiap kes penggantungan menurut perenggan (b) fasal (2), hendaklah —

(a) didengar oleh mesyuarat agung yang terawal diadakan selepas penggantungan itu;
(b) anggota itu telah diberitahu secara bertulis akan kesalahannya dalam masa tujuh hari sebelum diadakan mesyuarat agung; dan
(c) anggota itu diberi peluang membela diri dalam mesyuarat agung itu.

37.4. Anggota Lembaga yang dikenakan tindakan penggantungan itu hendaklah —

(a) diberhentikan semua hak atau fungsi atau tugas berkenaan dengan jawatan itu; dan
(b) diberhentikan semua saraan yang diterima semasa memegang jawatan.

37.5. Keputusan mengesahkan pemecatan atau mengetepikan penggantungan jawatan anggota Lembaga itu hendaklah dibuat oleh mesyuarat agung dengan undi majoriti anggota yang hadir —

(a) selepas mendengar penjelasan daripada anggota Lembaga itu sekiranya dia hadir; atau
(b) selepas mendengar dan menimbangkan fakta pertuduhan yang dibentangkan oleh Lembaga, sekiranya dia tidak hadir.

37.6. Jika mesyuarat agung mengesahkan penggantungan menurut fasal (5), dia hendaklah dipecat jawatannya dengan serta merta.

37.7. Jika mesyuarat agung mengetepikan penggantungannya maka semua saraan yang sepatutnya diterima boleh dibayar kepadanya.

Penamatan pelantikan anggota Lembaga

38.1. Walau apapun peruntukan fasal (1) undang-undang kecil 36, mesyuarat agung mempunyai kuasa menurut Peraturan —

(a) untuk menamatkan pelantikan mana-mana atau kesemua anggota Lembaga pada bila-bila masa; dan
(b) memilih gantinya dengan syarat bahawa usul secara bertulis untuk menamatkan pelantikan anggota Lembaga itu hendaklah disampaikan kepada Koperasi dalam tempoh tujuh hari sebelum mesyuarat agung itu diadakan.

38.2. Keputusan untuk menamatkan pelantikan seseorang atau kesemua anggota Lembaga hanya boleh dibuat selepas mesyuarat agung itu mendengar penjelasan anggota Lembaga yang terlibat.

38.3. Anggota Lembaga yang ditamatkan pelantikannya menurut undang-undang kecil ini tidak boleh dilantik semula sehingga mesyuarat agung tahunan yang akan datang.

Mesyuarat Lembaga

39.1. Mesyuarat Lembaga pertama hendaklah —

(a) diadakan sebaik sahaja selesai mesyuarat agung tahunan; dan
(b) melantik di kalangan anggota Lembaga seorang pengerusi, setiausaha dan bendahari.

39.2. Mesyuarat Lembaga yang berikutnya hendaklah diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan.

39.3. Mesyuarat Lembaga hendaklah juga diadakan sekiranya —

(a) Suruhanjaya mengeluarkan arahan; atau
(b) Tiga orang anggota Lembaga membuat permintaan bertulis menyatakan perkara yang hendak dibincangkan.

39.4. Keputusan mesyuarat Lembaga adalah sah walaupun —

(a) ketidakhadiran mana-mana anggota Lembaga;
(b) terdapat kecacatan yang kemudiannya diketahui dalam pelantikan atau kelayakan mana-mana anggota Lembaga atau pembentukan Lembaga;
(c) terdapat peninggalan, kecacatan atau salah aturan mesyuarat; atau
(d) kehadiran atau penyertaan seseorang yang bukan anggota Lembaga.

39.5. Lembaga boleh mengundang mana-mana orang ke mesyuarat —

(a) untuk memberi nasihat berkenaan dengan apa-apa perkara yang dibincangkan;
(b) tetapi orang tersebut tidak boleh mengundi; dan
(c) orang itu boleh dibayar elaun atau perbelanjaan lain sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.

39.6. Semasa ketiadaan pengerusi, seorang daripada anggota Lembaga lain yang hadir boleh dipilih untuk mempengerusikan mesyuarat.

Kuorum mesyuarat Lembaga

40.1. Kuorum mesyuarat Lembaga hendaklah melebihi satu perdua daripada bilangan anggota Lembaga menurut undang-undang kecil 34.

Urusan mesyuarat Lembaga

41.1. Urusan mesyuarat Lembaga hendaklah termasuk yang berikut:

(a) mengesahkan minit mesyuarat Lembaga terdahulu;
(b) membincangkan perkara berbangkit;
(c) mengkaji, membincang, menimbang dan memutuskan di mana berkenaan, perkara berikut:

(i) keputusan mesyuarat agung dan menentukan tindakan;
(ii) laporan Jawatankuasa Audit Dalaman;
(iii) laporan pengurusan;
(iv) permohonan menjadi anggota Koperasi;
(v) permohonan berhenti daripada menjadi anggota; dan
(vi) permohonan menambah atau mengurangkan caruman syer.

(d) membentang dan meluluskan kedudukan kewangan bulanan;
(e) mengkaji dan membincangkan projek Koperasi yang sedia ada dan subsidiari, jika ada;
(f) mengkaji, membincang dan memutuskan cadangan projek baru Koperasi;
(g) mengkaji, membincang dan memutuskan —

(i) hal-hal perjawatan;
(ii) program latihan pekerja; dan
(iii) program pendidikan anggota.

(h) melantik Jawatankuasa Audit Dalaman di kalangan anggota menurut undang-undang kecil 49; dan
(i) menjalankan apa-apa urusan lain dengan memberi notis tidak kurang daripada tujuh hari.

Undi anggota Lembaga

42.1. Semua usul dan cadangan hendaklah diputuskan dengan majoriti mudah undi anggota Lembaga yang hadir.

42.2. Jika bilangan undi sama banyak, maka usul atau cadangan yang diundi itu tidak diterima.

42.3. Seseorang anggota Lembaga yang ada percanggahan kepentingan dalam perkara yang akan dipertimbangkan oleh mesyuarat hendaklah mengisytiharkan sepenuhnya kepada Lembaga mengenai penglibatan atau percanggahan kepentingannya dalam perkara itu dan tidak mengundi atau terlibat dalam perbincangan mengenai perkara itu.

Buku minit mesyuarat Lembaga

43.1. Segala keputusan mesyuarat Lembaga hendaklah —

(a) diminitkan dalam tempoh tujuh hari;
(b) ditandatangani oleh setiausaha mesyuarat itu; dan
(c) diedarkan kepada anggota Lembaga dalam tempoh empat belas hari.

43.2. Minit yang telah disahkan dalam mesyuarat berikutnya hendaklah ditandatangani oleh pengerusi mesyuarat tersebut.

43.3. Minit bagi sesuatu mesyuarat Lembaga hendaklah diserahkan —

(a) kepada Suruhanjaya menurut perenggan 14(1)(c) Akta; dan
(b) dalam tempoh tiga puluh hari selepas tarikh mesyuarat itu.

Kuasa dan kewajipan Lembaga

44.1. Lembaga bertanggungjawab memastikan pentadbiran dan pengurusan Koperasi dikendalikan dengan teratur, menurut subseksyen 44(1) Akta.

44.2. Bagi melaksanakan tanggungjawab menurut fasal (1), Lembaga hendaklah mempunyai kuasa dan kewajipan yang berikut:

(a) melantik seorang pengerusi, setiausaha dan bendahari di kalangan anggotanya di dalam mesyuarat Lembaga yang diadakan menurut perenggan (b) fasal (1) undang-undang kecil 39;

(b) mengemukakan suatu senarai anggota Lembaga yang mengandungi butiran berikut:

(i) nama;
(ii) alamat kediaman;
(iii) nombor kad pengenalan;
(iv) tarikh keanggotaan;
(v) pekerjaan; dan
(vi) jawatan dalam Koperasi,

dalam tempoh lima belas hari selepas mesyuarat agung tahunannya kepada Suruhanjaya menurut perenggan 14(1)(a) Akta. Apa-apa perubahan mengenai butiran berkenaan hendaklah dimaklumkan kepada Suruhanjaya secara bertulis dalam tempoh lima belas hari dari tarikh berlakunya perubahan tersebut;

(c) menimbang dan menerima permohonan keanggotaan;

(d) meluluskan dan mengesahkan pemindahan dan penebusan syer anggota;

(e) melantik —

(i) seorang pegawai yang bergaji tetap; atau
(ii) sebuah firma,

bagi menjalankan mana-mana daripada tugas setiausaha, jika perlu, dengan syarat pegawai yang dilantik itu tidak boleh menjadi anggota Lembaga;

(f) menyenggara akaun bagi wang yang diterima dan yang dibelanjakan atas nama Koperasi dengan benar dan betul;

(g) menyenggara akaun bagi harta dan liabiliti Koperasi dengan benar dan betul;

(h) membenarkan perbelanjaan, menyemak dan mengawasi semua akaun, buku, rekod serta dokumen Koperasi yang di senggara, diuruskan dengan sempurna dan kemaskini;

(i) membentangkan kepada mesyuarat agung tahunan —

(i) akaun perdagangan;
(ii) akaun untung rugi;
(iii) apa-apa penyata sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya;
(iv) kunci kira-kira;
(v) laporan Lembaga menurut subseksyen 59(3) Akta;
(vi) laporan juruaudit; dan
(vii) pandangan Suruhanjaya mengenai akaun dan kunci kira-kira, jika ada,
bagi Koperasi dan subsidiari;

(j) membuat perakuan pembahagian keuntungan bersih dan pengisytiharan syer bonus Koperasi, jika ada kepada mesyuarat agung tahunan;

(k) mengambil tindakan sewajarnya ke atas penyata dan surat arahan Suruhanjaya atau wakilnya;

(l) membentang laporan Jawatankuasa Audit Dalaman dalam mesyuarat agung tahunan;

(m) memenuhkan jawatan kosong yang berlaku di dalam Lembaga, menggantung keanggotaan anggota dan anggota Lembaga serta menyingkirkan keanggotaan menurut fasal (2) undang-undang kecil 21 dan melucutkan jawatan anggota Lembaga;

(n) memanggil mesyuarat agung menurut Undang-undang Kecil;

(o) membuat perjanjian bagi mendapatkan pinjaman tertakluk kepada kelulusan mesyuarat agung;

(p) melantik pekerja termasuk pengurus dengan mengeluarkan surat rasmi yang mengandungi terma dan syarat perkhidmatan;

(q) bertindak atas nama dan bagi pihak Koperasi atau melantik seseorang wakil bagi menyelesaikan segala pertikaian Koperasi atau menjalankan dan memberhentikan mana-mana tindakan mahkamah;

(r) melabur wang berlebihan menurut keputusan mesyuarat agung dan tertakluk kepada peruntukan Akta dan Peraturan;

(s) mengkaji dan merancang projek yang memberi manfaat kepada anggota dan Koperasi dengan melaksanakan projek mengikut keputusan mesyuarat agung;

(t) melaksanakan projek dan memberi peluang kepada anggota untuk —

(i) mengambil bahagian dalam pelaksanaan projek; atau
(ii) menyumbangkan modal tambahan atau simpanan khas sebagaimana yang dipersetujui;

(u) memasuki perjanjian bagi pihak Koperasi dan dimeterai dengan mohor Koperasi serta ditandatangani oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari atau orang lain yang diberi kuasa oleh Lembaga;

(v) melantik wakil di kalangan anggotanya untuk menghadiri mesyuarat mana-mana koperasi yang dianggotainya;

(w) menubuhkan jawatankuasa, jika perlu, bagi menjalankan aktiviti Koperasi dengan sempurnanya dan mewakilkan kuasa kepadanya dari semasa ke semasa mengikut keputusan Lembaga;

(x) membuat aturan aktiviti dari semasa ke semasa bagi pelaksanaan aktiviti Koperasi dengan kelulusan mesyuarat agung dan mengemukakan satu salinannya dalam tempoh tiga puluh hari kepada Suruhanjaya menurut fasal (3) undang-undang kecil 9;

(y) mencadangkan belanjawan termasuk elaun kepada anggota Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalaman untuk dibentangkan di mesyuarat agung tahunan Koperasi;

(z) mencadangkan saraan kepada anggota Lembaga yang dilantik sebagai pengarah bagi subsidiari Koperasi untuk dibentangkan di mesyuarat agung tahunan Koperasi;

(aa) mengawasi kecekapan, tatatertib dan daya usaha semua pegawai dan pekerja Koperasi dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka;

(bb) memastikan kerahsiaan maklumat perniagaan Koperasi dan anggotanya terpelihara; dan

(cc) melaksanakan tugas lain sebagaimana yang ditentukan oleh Akta, Peraturan, perintah, garis panduan, arahan Suruhanjaya, Undang-undang Kecil dan mesyuarat agung dari semasa ke semasa.

44.3. Seseorang anggota Lembaga yang memegang suatu jawatan atau memiliki sesuatu harta atau kepentingannya berkaitan perniagaan dengan Koperasi yang, sama ada secara langsung atau tidak langsung, suatu kewajipan atau suatu kepentingan yang mungkin wujud, yang bercanggah dengan kewajipan atau kepentingannya sebagai anggota Lembaga Koperasi ini hendaklah mengisytiharkan di dalam mesyuarat Lembaga pertama yang diadakan selepas:

(a) pelantikannya, atau
(b) dia memiliki harta atau perniagaan tersebut, mengenai hakikat jenis dan takat percanggahan yang mungkin berbangkit.

Liabiliti Anggota Lembaga

45.1. Lembaga hendaklah berhemat dan bertekun seperti ahli perniagaan yang biasa dan hendaklah bertanggungan secara bersama dan berasingan bagi apa-apa kerugian yang ditanggung oleh Koperasi atas sebab kegagalan mereka berhemat dan bertekun sedemikian atau oleh sebab apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan peruntukan Akta, Peraturan, perintah atau Undang-undang Kecil ini serta aturan aktiviti yang dibuat di bawahnya atau arahan mesyuarat agungnya.

Tugas Pengerusi

46.1. Pengerusi hendaklah menjalankan tugas seperti berikut:

(a) mempengerusikan semua mesyuarat Lembaga;
(b) mengawasi segala wang, harta dan perniagaan Koperasi dikendalikan mengikut dasar yang ditetapkan oleh Lembaga;
(c) menandatangani minit mesyuarat yang disahkan;
(d) memperakui cabutan dan salinan dari rekod Koperasi, menurut Peraturan, bersama setiausaha melalui satu akuan yang bertarikh dan ditandatangani;
(e) memanggil sendiri atau melalui setiausaha, mesyuarat Lembaga, bila perlu;
(f) mengarahkan Jawatankuasa Audit Dalaman supaya memeriksa buku, rekod dan dokumen Koperasi pada bila-bila masa dan melaporkan kepada Lembaga;
(g) menandatangani permohonan pendaftaran kepada pindaan Undang-undang Kecil dan dokumen lain yang berkaitan bersama dua anggota Lembaga; dan
(h) menyelia secara am pentadbiran, hal-ehwal dan pekerja Koperasi.

46.2. Tugas pengerusi menurut perenggan (a) dan (b) fasal (1) boleh diamanahkan kepada mana-mana anggota Lembaga, jika perlu.

Tugas Setiausaha

47.1. Setiausaha hendaklah menjalankan tugas seperti berikut:

(a) memanggil dan menghadiri mesyuarat agung, mesyuarat Lembaga dan mesyuarat jawatankuasa dan menyampaikan segala laporan dan dokumen untuk pertimbangan mesyuarat-mesyuarat itu;
(b) merekodkan perjalanan dan keputusan sesuatu mesyuarat;
(c) menyenggara dan mengemaskinikan semua daftar anggota, daftar penama, buku dan laporan yang dikehendaki oleh Lembaga;
(d) menguruskan surat-menyurat sebagaimana yang diarahkan oleh Lembaga;
(e) mengesahkan bersama pengerusi salinan segala perkara yang bertulis di dalam buku Koperasi;
(f) menyimpan dan menjaga dengan selamatnya mohor Koperasi; dan
(g) menjalankan tugas lain yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

47.2. Mana-mana tugas setiausaha boleh diamanahkan kepada pengurus atau pekerja tertakluk kepada persetujuan Lembaga.

Tugas Bendahari

48.1. Bendahari hendaklah menjalankan tugas seperti berikut:

(a) mengendalikan segala wang, harta dan perniagaan Koperasi mengikut dasar yang ditetapkan oleh Lembaga;
(b) menerima dan menjaga semua wang yang diterima oleh Koperasi dan membuat pembayaran mengikut arahan Lembaga;
(c) menyimpan ke dalam bank atas nama Koperasi semua wang yang diterima dalam tempoh dua puluh empat jam hari bekerja daripada penerimaannya;
(d) mengeluarkan resit, menyediakan baucar dan surat lain mengikut arahan Lembaga;
(e) menyimpan dalam Akaun Wang Runcit, wang sebanyak yang diluluskan oleh Lembaga untuk memenuhi perbelanjaan runcit dan perbelanjaan yang dibuat daripada akaun ini boleh diganti seberapa kerap yang perlu;
(f) menyenggara dan menyimpan akaun Koperasi dengan sempurna dan kemaskini supaya dapat diperiksa pada bila-bila masa oleh pihak berkuasa yang berkenaan;
(g) menyediakan akaun tahunan dan laporan tahunan Koperasi untuk dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga;
(h) menyediakan belanjawan tahunan Koperasi dalam bentuk yang menunjukkan dengan jelas segala butiran pendapatan dan perbelanjaan untuk ditimbang oleh Lembaga sebelum dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan; dan
(i) menyediakan penyata pendapatan dan perbelanjaan Koperasi yang benar dengan secara dibutirkan satu persatu bagi sesuatu tempoh sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga untuk dibandingkan dengan belanjawan bagi tempoh berkenaan yang telah diluluskan oleh mesyuarat agung.

48.2. Mana-mana tugas bendahari boleh diamanahkan kepada pengurus atau pekerja tertakluk kepada persetujuan Lembaga.

Jawatankuasa Audit Dalaman

49.1. Menurut subseksyen 42A(1) Akta, Jawatankuasa Audit Dalaman Koperasi hendaklah mengandungi dua orang, terdiri daripada anggota yang dilantik oleh Lembaga, menurut perenggan (g) undang-undang kecil 41.

Kelayakan menjadi Jawatankuasa Audit Dalaman

50.1. Tiada seorang pun layak menjadi Jawatankuasa Audit Dalaman atau kekal sebagai seorang Jawatankuasa Audit Dalaman jika dia —

(a) telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta;
(b) telah dipecat sebagai seorang pegawai sesuatu koperasi;
(c) menjadi anggota Lembaga Koperasi ini; atau
(d) menerima apa-apa pelantikan tetap yang bergaji dalam Koperasi ini.

Tempoh memegang jawatan Jawatankuasa Audit Dalaman

51.1. Tempoh perkhidmatan semua anggota Jawatankuasa Audit Dalaman ini adalah satu tahun atau sehingga mesyuarat agung tahunan akan datang, mana yang terdahulu. Perkhidmatan mereka boleh disambung semula setelah diputuskan oleh mesyuarat Lembaga.

51.2. Kekosongan dalam Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah diisi oleh Lembaga dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh pengosongan jawatan dengan melantik mana-mana anggota yang layak.

Penamatan Jawatankuasa Audit Dalaman

51A.1. Seseorang atau kesemua Jawatankuasa Audit Dalaman boleh ditamatkan jawatannya oleh Lembaga jika dia —

(a) gagal berfungsi menurut fasal (2) dan fasal (4) perenggan (b) dan (c) undang-undang kecil 52;
(b) gagal memastikan kerahsiaan maklumat perniagaan koperasi dan anggotanya terpelihara;
(c) menggunakan maklumat Koperasi untuk kepentingan peribadi; atau
(d) melakukan perkara yang memudaratkan kepentingan Koperasi.

Kuasa dan kewajipan Jawatankuasa Audit Dalaman

52.1. Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah mempunyai kuasa —

(a) memeriksa segala rekod perakaunan dan rekod lain yang berhubungan secara langsung atau tidak langsung dengan Koperasi dan subsidiarinya, jika ada;
(b) memanggil mana-mana orang yang dikehendakinya supaya mengemukakan atau menyerahkan apa-apa maklumat atau buku, akaun dan dokumen yang berkaitan,
bagi memastikan hal-ehwal dan perniagaan Koperasi dijalankan mengikut matlamat penubuhan, Akta, Peraturan, garis panduan, Undang-undang Kecil, mana-mana undang-undang bertulis lain dan keputusan mesyuarat agung serta mesyuarat Lembaga.

52.2. Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah menjalankan tugas seperti berikut:

(a) memastikan adanya kuasa dan kesahan bagi segala perbelanjaan;
(b) memeriksa akaun Koperasi pada lat-lat masa yang tetap dan tidak boleh kurang daripada sekali dalam tempoh tiga bulan;
(c) memberitahu Lembaga apa-apa ketakselarasan yang berlaku dalam pengurusan Koperasi dengan serta-merta; dan
(d) mengemukakan kepada Lembaga laporan mengenai pengurusan dan hal-ehwal Koperasi termasuk pelanggaran terhadap Akta, Peraturan atau Undang-undang Kecil.

52.3. Jawatankuasa Audit Dalaman, tertakluk kepada kelulusan Lembaga dibayar upah, tetapi amaun upah itu tidak boleh melebihi jumlah wang ditetapkan oleh mesyuarat agung.

52.4. Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah —

(a) melantik di kalangan mereka seorang ketua;
(b) bersidang tidak kurang daripada empat kali setahun; dan
(c) mengemukakan laporan bertulis kepada Lembaga dan Suruhanjaya sekurang-kurangnya empat kali setahun.

Leave a reply