remove_action('wp_head', 'wp_generator'); Koperasi Az Zahabi Selangor Berhad

Bahagian 4: Keanggotaan

Anggota

10.1.  Anggota Koperasi ini termasuklah seseorang yang turut sama dalam permohonan mendaftarkan Koperasi ini dan yang telah menandatangani minit mesyuarat agung permulaan Koperasi dan seseorang yang diterima menjadi anggota menurut Peraturan dan Undang-undang Kecil ini selepas pendaftaran.

Kelayakan menjadi anggota

11. 1. Keanggotaan Koperasi ini terbuka kepada penduduk di kawasan operasi.

11. 2. Seseorang yang ingin menjadi anggota Koperasi ini mestilah —

(a) warganegara Malaysia;
(b) telah mencapai umur lapan belas tahun;
(c) bermastautin atau mempunyai hartanah atau bekerja dalam kawasan operasi Koperasi ini; dan
(d) bukan seorang yang terhadapnya masih berkuat kuasa suatu sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar, atau tidak upaya dari segi mental, atau bankrap yang belum dilepaskan, atau pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun.

Permohonan menjadi anggota

12.1.  Permohonan menjadi anggota hendaklah dibuat dalam borang rasmi Koperasi ini dan dialamatkan kepada setiausaha Koperasi atau pegawai Koperasi yang dipertanggungjawabkan.

Fi masuk

13.1. Tiap-tiap permohonan menjadi anggota hendaklah disertakan dengan fi masuk sebanyak RM20.00 (Ringgit: dua puluh). Fi masuk itu menurut perenggan 50(a) Akta akan dikembalikan kepada pemohon jika permohonannya ditolak oleh Lembaga.

13.2. Bekas anggota yang memohon untuk menjadi anggota semula dikenakan fi masuk sebanyak RM50.00 (Ringgit: lima puluh).

13.3. Penama atau wakil yang sah kepada anggota yang mati jika memohon untuk menjadi anggota dalam tempoh enam bulan selepas kematian anggota itu, tidak dikenakan fi masuk.

13.4. Semua fi masuk hendaklah dikreditkan ke dalam akaun untung rugi.

Ikrar anggota

14.1. Seseorang yang memohon untuk menjadi anggota hendaklah menandatangani suatu ikrar bahawa dia —

(a) akan terikat dengan Undang-undang Kecil ini dan aturan aktiviti yang sedia ada serta apa-apa pindaan;
(b) bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan;
(c) bukan seorang yang terhadapnya masih berkuat kuasa suatu sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar; dan
(d) tidak pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun.

14.2. Mana-mana pemohon yang enggan menandatangani ikrar tersebut tidak boleh diterima menjadi anggota.

14.3. Seseorang yang telah menjadi anggota dengan sebab turut sama dalam membuat permohonan bagi pendaftaran Koperasi ini dan mereka yang telah menandatangani minit mesyuarat agung permulaan Koperasi ini, dikehendaki menandatangani ikrar menurut fasal (1) dalam tempoh empat puluh lima hari selepas diterima perakuan pendaftaran Koperasi. Kegagalan menandatangani ikrar tersebut boleh menyebabkan dia disingkir.

Penerimaan menjadi anggota

15.1. Permohonan menjadi anggota hendaklah dipertimbangkan oleh Lembaga dalam mesyuaratnya yang boleh menerima atau menolak sesuatu permohonan itu tanpa menyatakan sebabnya. Seseorang yang diterima menjadi anggota hendaklah diberitahu secara bertulis dalam tempoh tidak lewat daripada tiga puluh hari selepas penerimaannya itu.

Perolehan hak, kewajipan dan liabiliti anggota

16.1. Menurut seksyen 28 Akta, tiap-tiap anggota yang telah menjelaskan bayaran RM300.00 (Ringgit: tiga ratus) syer boleh melaksanakan segala hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota, sebagaimana yang terkandung di dalam Undang-undang Kecil ini.

Pemberian Undang-undang Kecil

17.1. Tiap-tiap anggota hendaklah diberi dengan percuma satu naskah Undang-undang Kecil ini. Naskah tambahan akan dikenakan bayaran.

Penama

18.1. Tiap-tiap anggota Muslim hendaklah menamakan seorang wakil di sisi undang-undang untuk menerima setelah dia mati, wang yang terhak baginya di dalam Koperasi ini bagi diagihkan kepada waris yang berhak mengikut hukum Islam.

18.2. Tiap-tiap anggota yang bukan Muslim hendaklah menamakan seorang atau lebih daripada seorang sebagai penama.

18.3. Anggota itu boleh dari semasa ke semasa membatalkan atau menukar penamaan tersebut dan hendaklah memberitahu Koperasi akan perubahan, jika ada, mengenai penamaan itu.

18.4. Penamaan hendaklah dibuat dalam borang rasmi Koperasi.

18.5. Tertakluk kepada undang-undang kecil 11, seseorang penama boleh diterima menjadi anggota dan penama yang demikian itu hendaklah dianggap telah menjadi anggota mulai tarikh anggota yang digantikannya itu diterima sebagai anggota.

Liabiliti anggota

19.1. Liabiliti seseorang anggota hendaklah terhad kepada jumlah syer yang dimilikinya sekiranya pendaftaran Koperasi ini dibatalkan.

19.2. Liabiliti seseorang bekas anggota hendaklah tidak berterusan lebih daripada dua tahun dari tarikh keanggotaannya terhenti, menurut subseksyen 35(1) Akta.

19.3. Harta pusaka seseorang anggota yang telah mati tidak bertanggungan bagi hutang Koperasi ini, sebagaimana yang ada pada tarikh kematiannya, melebihi tempoh dua tahun dari tarikh kematian itu menurut subseksyen 35(2) Akta.

19.4. Harta pusaka menurut fasal (3) adalah syer dalam Koperasi ini.

Hilang kelayakan sebagai anggota

20.1. Seseorang anggota akan hilang kelayakannya sebagai anggota jika dalam tempoh menjadi anggota, dia —

(a) tidak upaya dari segi mental;
(b) seorang bankrap yang belum dilepaskan;
(c) seorang yang terhadapnya masih berkuat kuasa suatu sabitan bagi kesalahan boleh daftar;
(d) telah dibuang daripada menjadi anggota di bawah Akta ini dan suatu tempoh selama satu tahun belum lagi berlalu dari tarikh pembuangan itu; atau
(e) tidak lagi bermastautin, mempunyai hartanah dan bekerja dalam kawasan operasi Koperasi.

Terhenti menjadi anggota

21.1. Keanggotaan seseorang anggota terhenti atas sebab berikut:

(a) mati;
(b) menarik diri menurut undang-undang kecil 22; atau
(c) dibuang menurut Undang-undang Kecil 23;

21.2. Lembaga hendaklah menyingkir seorang anggota yang —

(a) didapati membuat ikrar palsu menurut undang-undang kecil 14;
(b) hilang kelayakan sebagai anggota menurut undang-undang kecil 20;
(c) terhenti keanggotaannya menurut perenggan (c) fasal (1); atau
(d) gagal menjelaskan syer minimum menurut Undang-undang Kecil 54.

Menarik diri

22.1. Seseorang anggota boleh menarik diri daripada Koperasi ini dengan memberi notis bertulis satu bulan terlebih dahulu kepada Lembaga. Atas sebab yang munasabah, Lembaga boleh membenarkan penarikan diri dalam tempoh yang singkat.

22.2. Melainkan tarikh lebih awal dipersetujui oleh Lembaga, maka keanggotaan anggota itu hendaklah terhenti hanya pada hari genap tempoh notisnya.

22.3. Dalam tempoh notis itu, anggota yang demikian hendaklah masih mempunyai hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota.

Penggantungan dan pembuangan anggota

23.1. Lembaga boleh menggantung keanggotaan seseorang anggota jika majoriti anggota Lembaga berpuas hati bahawa anggota itu telah bertindak mengikut suatu cara yang memudaratkan kepentingan Koperasi jika didapati melakukan mana-mana satu daripada perkara berikut:

(a) merujukkan pertikaian atau aduan kepada mana-mana orang selain daripada Suruhanjaya;
(b) membuat kenyataan dalam akhbar atau mana-mana media massa mengenai Koperasi ini tanpa kebenaran Lembaga;
(c) membuat tuduhan palsu ke atas anggota Lembaga atau anggota atau bekas anggota atau pekerja Koperasi ini;
(d) memburuk-burukkan Koperasi sehingga mencemarkan nama baik dan menjejaskan urusan perniagaan Koperasi ini; atau
(e) bertindak di luar etika mesyuarat di dalam mana-mana mesyuarat sehingga menjejaskan perjalanan mesyuarat itu.

23.2. Keputusan untuk menggantung keanggotaan mana-mana anggota boleh dibuat oleh Lembaga hanya setelah anggota berkenaan itu diberitahu secara bertulis mengenai tuduhan yang jelas terhadapnya. Anggota berkenaan hendaklah diberi peluang untuk menyatakan sebab secara bertulis dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh surat diterima mengapa keanggotaannya tidak boleh digantung.

23.3. Tiap-tiap kes penggantungan hendaklah dibentangkan kepada mesyuarat agung yang terawal dan dijadikan sebagai fungsi pertama mesyuarat, dan anggota yang digantung keanggotaannya itu hendaklah diberitahu secara bertulis tidak kurang daripada lima belas hari sebelum diadakan mesyuarat, tentang tarikh, masa, tempat dan haknya untuk membela diri akan dijalankan di mesyuarat itu.

23.4. Keputusan mengesahkan penggantungan dan membuang atau mengetepikan penggantungan keanggotaan itu boleh dibuat oleh mesyuarat agung dengan undi dua pertiga daripada anggota yang hadir —

(a) selepas mendengar penjelasan daripada anggota berkenaan sekiranya anggota berkenaan hadir; atau
(b) selepas menimbang fakta pertuduhan yang dibentangkan oleh Lembaga, sekiranya anggota tersebut tidak hadir.

23.5. Sehingga perkara penggantungan keanggotaannya diputuskan oleh mesyuarat agung, anggota yang berkenaan itu tidak mempunyai apa-apa hak dan kewajipan sebagai anggota melainkan hak menyuarakan hal penggantungan keanggotaannya itu di dalam mesyuarat agung.

Penyelesaian wang anggota

24.1. Jika seseorang anggota terhenti daripada menjadi anggota Koperasi ini menurut undang-undang kecil 21, semua wang kepunyaannya melainkan nilai syer miliknya, setelah ditolak hutangnya dengan Koperasi ini hendaklah —

(a) sekiranya dia ditamatkan keanggotaannya, dikembalikan kepadanya dengan segera tanpa apa-apa syarat;
(b) sekiranya dia hilang keupayaan dari segi mental dan tiada pentadbir atau pemegang amanah bagi hartanya yang telah dilantik, dikembalikan kepada sesiapa yang difikirkan wajar untuk menerima bagi pihaknya sebaik sahaja penerima itu ditentukan;
(c) sekiranya dia mati, dikembalikan kepada penamanya atau warisnya atau wakilnya yang sah, menurut seksyen 24 Akta, disyaratkan bahawa bagi seseorang anggota Muslim, pengembalian tidak boleh dibuat melainkan kepada wakilnya yang sah atau kepada Pegawai Pentadbir Pusaka jika selepas enam bulan dari tarikh kematiannya, wakilnya yang sah tidak dapat dipastikan atau tidak dilantik;
(d) sekiranya dia menarik diri, dikembalikan kepadanya selepas akhir tempoh notis; dan
(e) sekiranya dia tidak lagi bermastautin, mempunyai hartanah dan bekerja dalam kawasan operasi Koperasi, dikembalikan kepadanya dengan sewajarnya.

24.2. Penyelesaian mengenai syer seseorang yang terhenti keanggotaannya sebagaimana yang ditentukan dalam akaun teraudit terakhir Koperasi ini, hendaklah tertakluk kepada peruntukan undang-undang kecil 56 dan 57.

Leave a reply